Blackhole atau juga dikenali sebagai lohong hitam telah dijumpai oleh para saintis di galaksi Bima Sakti. Hal ini merupakan penemuan yang besar dan banyak lagi kajian harus dibuat untuk mengetahui tentang wujudnya lohong hitam ini.
Gambar pusat galaksi kita yang menunjukkan lokasi Sagittarius A* dan kepulan gas CO–0.40–0.22, yang dipercayai mempunyai sebuah lohong hitam besar di tengah-tengahnya. Kredit gambar: Oka et al. (2016).
Lohong hitam CO–0.40–0.22*
Pada 4 September lalu, kumpulan saintis Jepun daripada Universiti Keio yang diketuai Tomoharu Oka menerbitkan dapatan kajian berkaitan penemuan bukti kewujudan lohong hitam baru di galaksi kita dalam jurnal Nature Astronomy.
Petanda kewujudan lohong hitam tersebut pada awalnya dijumpai pada tahun lepas oleh kumpulan saintis yang sama apabila mereka menemui kepulan gas molekul aneh yang bergerak dengan kelajuan tinggi berdekatan pusat galaksi kita dengan menggunakan teleskop radio Nobeyama di Jepun. Kepulan gas molekul tersebut dinamakan CO–0.40–0.22. Berdasarkan kinematik (pergerakan) gas-gas molekul di dalam CO–0.40–0.22, mereka merumuskan bahawa pergerakan aneh kepulan gas tersebut adalah disebabkan oleh kewujudan sebuah lohong hitam yang mempunyai jisim sekitar 100, 000 kali lebih berat berbanding matahari kita.
Daripada itu, mereka mengkaji kepulan gas tersebut menggunakan pelbagai teleskop, terutamanya teleskop radio ALMA (Atacama Large Millimeter/submillimeter Array) di Chile yang mempunyai keupayaan lebih tinggi berbanding teleskop Nobeyama. Dengan menggunakan teleskop ini mereka dapat mengkaji kepulan gas tersebut dengan lebih terperinci. Mereka mengesan sebuah objek tumpat di tengah-tengah kepulan gas tersebut yang mengeluarkan gelombang radio dengan ciri-ciri yang sama seperti gelombang radio yang dikesan pada Sagittarius A*, iaitu lohong hitam gergasi di pusat galaksi kita. Namun begitu, objek tersebut yang dinamakan CO–0.40–0.22*, mempunyai kecerahan 500 kali lebih malap berbanding Sagittarius A*. Berdasarkan data-data baru yang diperolehi, mereka menyimpulkan bahawa kemungkinan tinggi CO–0.40–0.22* adalah sebuah lohong hitam besar, sekaligus menyokong rumusan mereka yang terdahulu.
Lohong hitam perantaraan
Kumpulan saintis tersebut akan terus memantau CO–0.40–0.22* bagi mengumpul lebih banyak data yang dapat menyokong kesimpulan mereka. Jika kewujudan lohong hitam ini dapat disahkan, ia akan menjadi lohong hitam kedua terbesar dalam galaksi kita selepas Sagittarius A*, yang mempunyai keberatan 4 juta kali lebih berat berbanding matahari.
Jika benar, lohong hitam ini juga akan termasuk dalam kategori lohong hitam “intermediate” (perantaraan), iaitu lohong hitam yang mempunyai keberatan lebih kurang 100-100,000 kali lebih berat berbanding matahari. Lohong hitam ini adalah lebih besar daripada lohong hitam yang terhasil daripada kematian bintang, tetapi lebih kecil berbanding lohong hitam gergasi yang menduduki pusat-pusat galaksi besar dalam alam semesta kita.
Walaupun terdapat beberapa calon objek yang boleh diklasifikasikan dalam kategori ini, sehingga kini saintis masih belum dapat mengesahkan kewujudan lohong hitam dalam kategori ini kerana masih belum ada bukti yang kukuh. Saintis percaya lohong hitam perantaraan ini boleh membantu kita memahami bagaimana lohong hitam gergasi di pusat-pusat galaksi besar terbentuk.
Bagaimana ia terhasil?
Jangkaan berat CO–0.40–0.22* adalah terlalu besar untuk terhasil daripada kematian sebuah bintang, mahupun kematian sekumpulan bintang. Kemungkinan besar lohong hitam ini merupakan pusat galaksi kerdil yang bergabung dengan galaksi kita berjuta-juta tahun dahulu. Memandangkan kedudukan lohong hitam ini berdekatan dengan pusat galaksi kita, terdapat juga kemungkinan bahawa ia akan bergabung dengan lohong hitam gergasi kita, Sagittarius A*, pada satu masa nanti.
Adakah anda merasa sangat teruja atau berasa takut akan kewujudan lohong hitam ini? Apa pula persepsi anda tentang lohong hitam?
Sumber: Majalahsains.com
The post Para Saintis Menemui Lohong Hitam Pada Galaksi Bima Sakti appeared first on Aliff Channel.
Anda sekarang membaca artikel Para Saintis Menemui Lohong Hitam Pada Galaksi Bima Sakti