Sudah lebih sedekad sejak Malaysia menghantar angkasawan yang pertama. Minat terhadap angkasa lepas agak suram sejak kebelakangan ini. Sungguhpun begitu, inisiatif untuk menguasai aeroangkasa masih dapat dilihat institut pengajaran tinggi awam negara.
Terbaru, UiTM melakar sejarah sebagai IPTA pertama di Malaysia yang berjaya melancarkan satelit ke angkasa lepas. Memetik Amanz.my, satelit yang dinamakan UiTMSAT-1 itu dilancarkan dari Cape Canevaral, Florida pada jam 5 petang 29 Jun 2018 menggunakan roket Falcon 9 yang dikendalikan oleh Space X.
Selain satelit dari Malaysia, dua lagi satelit dari Bhutan dan Filipina turut dilancarkan menggunakan roket yang sama.
Satelit nano sebesar 10x10x10 sentimeter ini dihasilkan dibawah projek Joint Global Multi-Nation Birds Satellite (BIRD-2) yang dikelolakan oleh Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun. Projek ini menggalakkan perkembangan teknologi aeroangkasa di negara seperti Malaysia yang tidak mempunyai program penerokaan angkasa lepas sendiri.
Satelit nano yang juga dikenali sebagai CubeSat ini mengajar asas menghasilkan satelit dan kemudian menghantar maklumat telemetri ke stesen pangkalan di bumi.
Walaupun telah dilancarkan ke angkasa lepas, UiTMSAT-1 hanyalah kargo yang dihantar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Ia hanya akan dilancarkan ke orbit bumi rendah (low earth orbit) dari ISS pada bulan Ogos kelak.
The post UiTM IPTA Pertama Di Malaysia Melancarkan Satelit Ke Angkasa Lepas appeared first on Aliff Channel.
Anda sekarang membaca artikel UiTM IPTA Pertama Di Malaysia Melancarkan Satelit Ke Angkasa Lepas