Menjadi kecoh di media sosial, apabila seorang lelaki dewasa dikatakan telah berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Gambar lelaki berusia 41 tahun itu bersalaman dengan pasangan barunya itu dimuat naik oleh isteri keduanya, Effa atau nama sebenar Siti Nor Azila Zulkifle di Facebook dengan kapsyen,
“Selamat pengantin baru suamiku. Suamiku 41 tahun, maduku 11 tahun.”
Kata Effa lagi, suaminya itu berkata gambar tersebut adalah gambar yang telah disunting.
“Ketika suami ada di rumah, saya tunjuk gambar tersebut yang dihantar madu saya. Dia kata sekarang semua gambar boleh ‘edit’.
“Lepas tu saya cakap tak ada ‘edit’ kalau dah gambar macam ni. Kalau betul kahwin kena cakap dah kahwin… tak boleh main-main. Lepas tu barulah dia kata betullah dia dah kahwin,” katanya memetik temubual mStar Online.
Effa berkata dia tidak terkejut dengan tindakan suaminya itu kerana pernah terdengar desas-desus suaminya akan berkahwin lagi sebelum ini.
“Suami pun pernah kata tak mungkin dia akan kahwin dengan budak. Jadi saya dan isteri pertama pun fikir perkara yang sama.
“Namun saya tak sangka perkara itu benar-benar terjadi. Kalau dengan anak dara atau wanita yang lebih berusia saya boleh terima.
“Saya sendiri pernah nak pinangkan seorang wanita untuk suami tetapi dia tolak. Yang buat saya marah sebab dia kahwin dengan kawan sepermainan anak saya.
“Isteri baharunya itu kawan dengan anak tiri saya yang berusia 15 tahun. Dia (isteri ketiga) selalu tidur di rumah isteri pertama memandangkan emaknya kerja tukang masak di kedai makan madu saya (isteri pertama) itu,” katanya yang menetap di Gua Musang, Kelantan.
Ibu kepada anak empat itu mendakwa suaminya telah bernikah dengan isteri ketiganya itu pada 4 Syawal lalu, di Thailand.
“Saya dimaklumkan mereka telah bernikah di Siam pada raya keempat,” katanya sambil menambah madu baharunya itu juga adalah orang Thailand.
Ketika ditanya mengapa dia berkongsi kisah itu di media sosial, Effa berkata tidak berniat untuk mengaibkan suaminya.
Sebaliknya, wanita berusia 34 tahun itu berkata dia mahu suaminya yang bekerja sebagai ‘tauke getah’ itu menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan mengikut undang-undang. Saya dan isteri pertama sanggup terima madu kami sekiranya dia menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Dia kata dia kahwin kerana ikut sunnah Nabi. Tapi adakah dia ikut sunnah Nabi yang lain. Duit belanja saya dan anak-anak pun dia hanya bagi RM50 hingga RM100 seminggu.
“Anda rasa cukup ke nak tanggung empat orang anak? Tapi bagi dia wang tu dah banyak,” dakwanya.
Dakwa Effa, dia terpaksa menanggung keperluan keluarganya dengan berniaga di atas talian secara kecil-kecilan.
“Saya terpaksa berniaga kalau tak macam mana nak beli susu, pampers dan lain-lain keperluan. Suami hanya sediakan rumah dan kereta saja.
“Saya cakap kat suami saya tak nak bekerja. Saya dah penat… penat segalanya,” kata wanita berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu.
Susulan itu, Effa turut menyatakan hasrat untuk bercerai kerana mendakwa sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang tidak pernah berubah.
“Saya nekad. Tiada guna perkahwinan ini diteruskan. Saya akan pergi ke pejabat agama esok.
“Lagipun suami pernah kata kalau tak boleh terima perempuan tersebut (isteri ketiga), jalan terbaik adalah berpisah.
“Jadi saya dan isteri pertama kata kami sanggup bercerai kalau dia nak lepaskan,” katanya.
Menurut Effa, dia ada menghubungi suaminya untuk menyelesaikan hubungan mereka tetapi panggilan tidak dijawab.
“Saya sudah tidak jumpa suami empat hari. Saya call dia tak angkat, panggilan mak saya pun dia tak angkat. Mesej saya pun dia tak balas,” dakwanya.
Berita mengenai perkahwinan seorang lelaki berusia 41 tahun berkahwin dengan budak perempuan 11 tahun menjadi bualan hangat netizen selepas perkara itu dikongsi Siti Nor Azila sendiri.
Rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki tersebut yang sanggup berkahwin dengan budak perempuan bawah umur.
Budak perempuan itu didakwa sebagai anak kepada wanita yang bekerja sebagai tukang masak di kedai makan isteri pertama lelaki terbabit dan tidak bersekolah.
Sumber: mStar.com.my
The post Isteri Pertama Dan Kedua Nekad Tuntut Cerai, Suami Usia 41 Tahun Kahwini Budak 11 Tahun appeared first on Aliff Channel.
Anda sekarang membaca artikel Isteri Pertama Dan Kedua Nekad Tuntut Cerai, Suami Usia 41 Tahun Kahwini Budak 11 Tahun