Setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga sudah pasti rasa gembira apabila mendapat berita bahawa pasangan telah mengandung, dari saat itulah kesabaran suami diuji. Sebab itu kita sering dinasihatkan supaya menahan sabar setelah menikah, kerana masih banyak dugaan yang bakal ditempuh, isteri megandung bukanlah ujian yang berat, malah ia adalah satu bentuk rezeki, iaitu anak.
Sangat bertuah jika isteri anda tidak mengalami sebarang alahan dan mampu melakukan kerja harian dengan baik dan selesa, tanpa alahan teruk, muntah-muntah, mengidam dan sebagainya. Lain orang lain pula gayanya.
Tetapi jika isteri anda mengalami alahan yang teruk, mnegidamkan seseuatu yang mustahil untuk anda dapatkan, jangan marah dan merungut, bercakap baik-baik dan sudah pasti isteri anda faham dan bertolak ansur.
Ada dikalangan suami yang tidak memahami keadaan ibu mengandung, ada yang merungut kata isteri pemalas dan sebagainya. Seharusnya sebagai suami, anda seharusnya memberi semangat kepada mereka. Jika mereka mengidamkan sesuatu yang mudah dicari, dan anda mampu menunaikannya, apa salahnya anda tunaikan permintaanya.
Jangan nanti apabila isteri anda ditimpa masalah, kandungan tidak diselamatkan, anda baru hendak rasa bersalah dan menyesal. Seperti kisah yang bakal dikongsikan ini, seorang suami menyesal kerana sepanjang isterinya hamil, dia tidak dapat menunaikan permintaan isteri walaupun permintaannya itu hanyalah ais krim!.
“Saya terpanggil untuk menceritakan perasaan saya selepas kehilangan isteri tersayang semasa melahirkan anak sulung pada bulan 3 September lalu.
Saya bukanlah seorang yang rajin membaca, apatah lagi menulis. Tetapi kali ini luahan ikhlas dari hati saya sebagai seorang suami dan bapa yang sunyi.
Isteri saya, Sarah, biasa-biasa sahaja tetapi sangat comel di mata saya. Bertubuh kecil dan sentiasa bersederhana. Dia tidak pernah meminta benda-benda mahal dari saya. Dia juga bekerja dan menggunakan pengangkutan awam untuk pergi kerja.
Kami baru melangsungkan perkahwinan pada bulan Disember 2016. Kehidupan selepas berkahwin sangat simple. Isteri pandai memasak tetapi sejak mengandung, alahan dia sangat teruk sehingga boleh dikatakan apa yang dimakannya akan dimuntah keluar semula.
Mungkin disebabkan pembawakan ibu mengandung, isteri menjadi malas bergerak, malas memasak, malas mengemas rumah dan semuanya. Dia tidak seperti dulu yang mana cergas dan ceria selalu.
Kadang-kadang saya cuba memahami walaupun seringkali saya merungut bila merasakan dia terlalu melayan kemalasannya itu. Bila ditegur, dia juga akan merajuk dengan saya (memang dia seorang yang kuat merajuk).
Bila diingatkan semula, saya tidak tahu suami dan bapa jenis apa saya ini? Isteri pernah merajuk bila saya merungut yang dia seringkali mengajak makan di luar. Sedangkan dia bukan mengidam dan seringkali makanan tersebut saya yang habiskan. Selalunya bila dia yang mengajak makan di luar, dia yang akan membayar makanan kami. Itupun saya masih nak merungut. Kejam kan saya?
Dia sanggup bersusah dengan saya. Sepanjang perkahwinan kami, kami tidak mempunyai set bilik tidur. Hanya tidur beralaskan tilam nipis sahaja. Sedikit pun dia tidak pernah merungut. Sedangkan saya tahu sejak dia mengandung, dia selalu mengadu sakit belakang dan susah nak bangun ke bilik air.
Pernah kami membeli periuk nasi elektrik baru dan kuali, baldi serta barang dapur dengan menaiki motosikal. Dalam keadaan dia mengandung, dia memegang kuali, baldi dan beberapa plastik berisi barang-barang dapur yang ringan kerana tidak muat hendak diletakkan dalam raga motosikal.
Sepanjang perjalanan pula hujan renyai-renyai. Tetapi atas desakan isteri, kami tetap meneruskan perjalanan pulang ke rumah kerana dia tidak tahan nak pergi ke tandas. Isteri saya mengalami sembelit yang agak teruk sepanjang kehamilan dan dia tidak mahu menggunakan tandas awam kerana bimbang orang ramai menunggu di luar.
Apa yang paling saya ingat ketika berada di rumah abang saya. Dia menangis sepanjang malam kerana terlalu teringin aiskrim Cornetto Vanilla, Saya pula beberapa kali pergi ke kedai tetapi terlupa nak belikan aiskrim tersebut.
Sepanjang dia mengandung, dia tidak pernah menyusahkan saya dengan meminta makanan yang sukar dicari. Tetapi untuk aiskrim sahaja pun saya tak dapat tunaikan.
Isteri rasa terkilan sangat pada hari itu kerana permintaan kakak ipar saya untuk makan kerang bakar, malam itu juga saya belikan (abang oncall) sedangkan dia yang mengandung hanya meminta aiskrim berhari-hari saya tak tunaikan. Sungguh rasa bersalah dalam diri saya ini.
Jarak perjalanan dari tempat kerja isteri ke LRT Maluri mengambil masa lebih kurang 15 minit perjalanan. Dia akan turun di LRT Kampung Baru (rumah sewa kami) dan berjalan kaki lagi dalam 15 minit. Bayangkan dalam keadaan sarat mengandung dan kaki bengkak, isteri saya masih berjalan sendiri 30 minit ulang alik ke LRT setiap hari. Kejamnya saya sebagai suami membiarkan dia begitu.
Hari ini saya kehilangan isteri dan anak. Benar jodoh kami sampai di sini dan tiada rezeki untuk saya membesarkan anak pertama. Isteri saya terjatuh ketika berjalan menuju ke tempat kerja, ketika dia cuba mengelak kereta yang tiba-tiba meluru ke arahnya. Mujur ramai yang membantu apabila melihat dia tumpah darah di situ.
Dalam keadaan yang cedera, dia cuba menghubungi saya beberapa kali tetapi saya sedang bekerja dan telefon diletakkan dalam loker. Beberapa kali keluarga mertua cuba menghubungi saya sehinggalah adik ipar menghubungi rakan sekerja saya yang dicari melalui Facebook memaklumkan isteri saya berada di hospital.
Dengan kelam kabut saya terus pergi ke hospital. Dalam fikiran saya hanya tidak sabar untuk menjadi bapa sahaja, sedangkan mereka tidak menceritakan perkara sebenar kepada saya. Sehinggalah saya sendiri mengetahui insiden yang menimpa isteri bila tiba di hospital.
Isteri dan anak saya sedang bertarung nyawa di bilik kecemasan. Lebih kurang jam 11 pagi, kami dimaklumkan anak dan isteri saya tidak dapat diselamatkan. Ya Allah, berat sungguh ujian ini.
Hari ini banyak sangat perasaan bersalah. Saya rindu melihat senyuman tawa dan rajuk isteri. Tabahnya isteri melayari kehidupan dengan saya. Paling saya terkilan apabila melihat telefon bimbit isteri. Rupanya tanpa saya sedar ada sesuatu yang isteri saya inginkan tetapi tidak dapat diluahkan kepada saya. Mungkin sebab dia tidak mahu menyusahkan saya.
Beberapa gambar baju mengandung ada dalam simpanan album. Baru saya sedar, sepanjang isteri mengandung, tiada satu pun baju mengandung yang saya belikan untuk dia. Betullah, perempuan mana yang tak teringin memakai pakaian mengandung, merasai pengalaman mengandung, pengalaman yang paling berharga dalam hidupnya. Bila difikirkan, selama ini isteri hanya meminjam pakaian kakaknya sahaja.
Maafkan abang, sayang. Abang gagal memahami sayang. Gagal menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Gagal melindungi sayang.
Untuk anak syurga papa, papa sayang kamu sangat. Maafkan papa kerana gagal melindungi kamu. Jarang papa habiskan masa berbual dan membelai kamu ketika dalam kandungan mama.
Ya Allah, sungguh saya rindukan mereka.
Untuk lelaki yang bakal bergelar bapa di luar sana, hargailah isteri kita. Luangkan waktu bersama mereka. Tunaikanlah apa yang isteri inginkan jika mampu agar tidak menjadi seperti kisah saya. ”
Sumber: Thereporter.my
The post ‘Tiada Sehelai Pun Baju Mengandung Saya Belikan Untuknya’ – Suami Menyesal Tidak Tunaikan Permintaan Terakhir Isteri appeared first on Aliff Channel.
Anda sekarang membaca artikel ‘Tiada Sehelai Pun Baju Mengandung Saya Belikan Untuknya’ – Suami Menyesal Tidak Tunaikan Permintaan Terakhir Isteri