Adakalanya kebaikan kecil yang kita lakukan sebenarnya memberi makna yang besar buat seseorang. Bagi kita apa yang dilakukan hanyalah sebuah pertolongan kecil tetapi bagi mereka yang menerima bantuan tersebut, apa yang kita lakukan adalah segala-galanya.
Berikut adalah kisah yang dikongsi oleh seorang netizen tentang betapa perlunya menghulurkan bantuan tanpa mengira apa pun atau siapa pun. Inilah kisah tentang seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dan ibunya:
“Cuaca pada hari itu agak panas lalu Jessie memutuskan untuk menikmati makan tengah hari di sebuah kedai makan berhampiran dengan pejabat untuk menikmati mi di situ.
Selepas mendapatkan tempat duduk, matanya tertumpu pada dua orang anak-beranak, seorang kanak-kanak berumur sekitar 8 tahun bersama ibunya duduk di sebuah meja.
Walaupun mereka datang berdua namun ibu itu hanya memesan semangkuk mi.
Melihat mi yang dipesan hanya satu sahaja anak itu kemudian bertanya kepada ibunya jika ibunya sudah makan. Sambil tersenyum ibunya menjawab; “Ya, ibu sudah makan, kamu makanlah mi ini” jawabnya ringkas sambil mengusap-usap kepala anaknya.
Tidak sampai beberapa minit mi tersebut sudah berjaya dihabiskan oleh kanak-kanak itu dan meninggalkan sisa sup yang sedikit di dalam mangkuk itu.
Wanita itu kemudian berkata, “ibu tiba-tiba berasa dahaga.”
Kanak-kanak yang mendengar kata-kata ibunya segera menolak mangkuknya sambil berkata, “Adakah ibu mahu sup ini?”. Ibunya kemudian menyuapkan sisa sup yang ada ke dalam mulutnya dengan segera. Dia kelihatan seperti benar-benar lapar.
Apabila mereka selesai makan, mereka segera bangun untuk membayar makanan tersebut. Belum sempat mereka meninggalkan meja itu tiba-tiba pemilik kedai itu datang ke arah mereka dan meminta mereka untuk tunggu sebentar.
Walaupun mereka agak keliru dan bingung mereka hanya menuruti kata-kata pemilik kedai tersebut. Tidak lama selepas itu pemilik kedai itu keluar dari dapur dengan membawa semangkuk mi panas dan meletakkannya di atas meja mereka.
Dia kemudian berkata: “Tahniah! Anda telah dipilih secara rawak untuk menikmati semangkuk mi percuma!”
Air mata wanita itu mula membasahi pipinya kerana terharu dengan apa yang berlaku. Dia juga mengucapkan terima kasih kepada pemilik kedai untuk mi percuma tersebut.
Jessie adalah salah seorang pelanggan tetap kedai itu dan sebelum ini dia tidak pernah mendengar atau melihat pemilik kedai memberikan mi percuma kepada mana-mana pelanggan. Oleh itu, Jessie mula berasa ada sesuatu yang aneh berlaku.
Seminggu berlalu dan Jessie pergi ke kedai mi itu sekali lagi…
Seorang budak kecil memasuki kedai dan bertanya kepada pemiliknya “Pak cik, masihkah ada hadiah mi percuma hari ini?”
Jessie sedar bahawa kanak-kanak lelaki ini adalah yang orang sama yang dia lihat pada minggu lalu yang datang bersama ibunya tetapi hari ini dia datang berseorangan.
Pemilik kedai memandangnya dan segera memberitahu bahawa tawaran itu masih berlangsung. Kanak-kanak itu jelas berasa lega mendengar kata-kata pemilik kedai itu.
Pemilik kedai itu kemudian memintanya untuk duduk dan dia kemudiannya datang ke arah Jessie dan berbisik, “Bolehkah awak mengikut saya sekejap?”
Jessie hanya mengikutinya ke dapur di mana dia berkata “Saya minta maaf tetapi saya memerlukan bantuan awak. Bolehkah awak berpura-pura memenangi mi percuma dan memberikannya kepada budak itu?”
Rupa-rupanya pemilik kedai itu tidak mahu budak itu tahu bahawa sebenarnya kedai itu tidak pernah mengadakan apa-apa tawaran mi percuma.
Jessie berasa terharu dengan niat murni pemilik kedai tersebut lalu bersetuju untuk meneruskan lakonan tersebut.
Jessie kembali semula ke kerusinya dan pemilik kedai itu muncul dari dapur sambil memegang sekeping kertas. Dia kemudian mengumumkan, “pemenang mi percuma adalah, meja nombor 4!”
Mendengar sahaja pengumuman itu, wajah kanak-kanak itu mula berubah sedih. Dia kemudian berdiri untuk meninggalkan kedai tersebut tetapi segera dipanggil.
Jessie berkata kepadanya “Makcik baru sahaja makan semangkuk mi dan berasa kenyang. Bolehkah awak mengambil mi yang makcik memenangi ini?”
Wajah budak itu terus berubah dan dia hanya mengangguk-angguk. Dia kemudian mengambil bungkusan mi tersebut dan mengucapkan terma kasih berkali-kali. Semasa dia hendak keluar dari kedai, dia berhenti untuk mengucapkan terima kasih kepada pemilik kedai tersebut.
Pemilik kedai itu kemudian bertanya mengapa hanya dia seorang sahaja pada hari itu dan mengapa ibunya tidak datang bersamanya. Rupa-rupanya ibunya sedang terlantar sakit di rumah dan mereka juga tidak mempunyai keluarga lain.
Kanak-kanak itu berkata dia sudah cukup besar untuk mencari wang buat ibunya dengan cara berniaga. Apa yang lebih menyentuh hati ialah kanak-kanak ini tidak pernah berasa sedih atau terbeban dengan keadaan hidup mereka. Dia berasa senang untuk melakukan kerja demi membantu ibunya.
Pemilik kedai itu kemudian meletakkan tangannya di atas bahu budak lelaki itu dan berkata, “lain kali kamu boleh datang dan membantu pak cik menyapu lantai jadi kamu dan ibu boleh datang dan makan di sini secara percuma.”
Kanak-kanak itu sangat gembira dengan apa yang dikatakan oleh pemilik kedai itu.
Beberapa hari selepas kejadian di kedai mi itu, Jessie terjumpa kanak-kanak lelaki tersebut sedang menjual barang di sebuah gerai di pasar.
Dia menjual pelbagai bentuk dan warna penyepit rambut yang dihasilkan oleh ibunya sendiri. Semenjak itu, Jessie menjadi pelanggan tetap kanak-kanak itu!
Sumber: Jamtanganmerah.com
The post Pemilik Kedai Mee Berbohong Untuk Melakukan Kebaikan Ini appeared first on Aliff Channel.
Anda sekarang membaca artikel Pemilik Kedai Mee Berbohong Untuk Melakukan Kebaikan Ini